Orang berminat dan cenderung dalam bidang hartanah ada beberapa jenis:
1) Minat jadi penonton
Ada mereka yang hanya jadi penonton di atas kepesatan dan peningkatan harga hartanah sekitarnya.
Mereka tidak boleh dipersalahkan sepenuhnya di atas status ini yang dipegang olehnya. Mungkin mereka tidak cukup pendedahan dan pendorong rapat yang menjadikan mereka sebagai pembeli.
2) Minat jadi penunggu
Orang sebegini ada mengikuti perkembangan semasa pasaran hartanah. Mereka suka membeli buku-buku, majalah atau apa-apa bahan bacaan berkaitan hartanah. Ada masanya mereka suka berkongsi status berkaitan hartanah di Facebook, TikTok dan seumpamanya.
Adakalanya mereka boleh memberi pendapat yang bernas dan debat-debat ringan berkaitan hartanah di atas kerajinannya mencari info. Ada ketikanya mereka hanya mengeluh dan rasa rugi kerana tak beli sebelum ini. Akhirnya mereka sebagai penunggu setia yang tiada kesudahannya.
3) Minat dan bertindak
Orang sebegini yang saya patut diberi pujian. Dia menunjukkan minat yang mendalam dalam pembelian hartanah sama ada untuk duduk sendiri atau untuk pelaburan.
Mereka ini bukan sekadar hanya mencari info-info berkaitan pasaran hartanah semasa tetapi bertindak keluar secara fizikal mencari orang-orang yang berjaya dalam bidang hartanah untuk dijadikan mentor dan rujukannya.
4) Minat, bertindak dan bergelumang
Mereka ini pula yang paling agresif. Biasanya mereka terlibat dalam pembelian hartanah bukan setahun dua.
Mereka ini ibarat “sekilas ikan di air dah tahu jantan betinanya”. Mereka tengok je mana-mana hartanah yang ingin dijual dah tahu berapa harga semasa, kos baik pulih tanpa bawa kontraktor, untung masa beli berapa, untung masa jual berapa dan aspek percukaian.
Ada antara mereka boleh dikatakan masa 24 jam kehidupannya bergelumang dalam bidang hartanah je. Setiap masa mencari ruang dan peluang untuk di sauk. Mereka tahu lubuk mana yang boleh buat duit.
Kelicikan mereka mengintai rumah bawah pasaran sehingga 70%. Mereka menerjah dan menakluki hartanah lelong, rumah busuk dan rumah-rumah kes khas yang tidak boleh dibeli dengan cara biasa. Risiko agak tinggi tetapi berbekalkan pengetahuan dan pengalaman yang ada pada mereka, itu semua boleh jalan.
Dari sini anda dah boleh rasa tergolong dalam kategori mana. Di sini saya bukan nak cari kesalahan atau kekurangan orang lain pun, cukup sekadar berkongsi apa yang ada dalam kepala saya. Selamat membaca.
Psst:
Tahukah anda pasaran hartanah tempatan merekodkan lebih 188,000 transaksi bernilai RM84 bilion pada separuh pertama tahun 2022.
Sumber: Laporan Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC).
Kamaruzaman Omar