Setiap pembeli rumah pasti tidak sabar-sabar menanti saat menerima kunci rumah baru. Namun sebelum hari yang ditunggu-tunggu ini, terdapat beberapa formaliti dan istilah yang perlu anda ketahui.
Apa itu Vacant Possession?
Istilah ringkasnya, Vacant Possession (VP) ataupun milikan kosong ataupun bermaksud rumah yang kosong dan apa-apa kelengkapan dan perabot lain yang disenaraikan dalam Perjanjian Jual Beli (SNP rumah) diberikan kepada pembeli rumah selepas transaksi pembelian rumah tersebut selesai.
Istilah ini juga digunakan dalam menyewa dengan maksud yang sama – bahawa tuan tanah harus menyediakan rumah sewa kepada penyewa atau penyewa mesti mengosongkan rumah sewa itu sebaik sahaja pajakan tamat.
Apa itu serahan Milikan Kosong?
Secara ringkasnya, serahan milikan kosong atau delivery of vacant posession bermakna rumah kosong dan apa-apa kelengkapan dan perabot lain yang disenaraikan dalam SNP rumah diberikan kepada pembeli rumah selepas selesai transaksi pembelian rumah.
Serahan milikan kosong untuk sesebuah hartanah primer bergantung kepada jenis rumah tersebut – di bawah Peraturan-peraturan Pemaju Perumahan (Kawalan dan Perlesenan) 1989, pemaju perumahan dikehendaki menyerahkan milikan kosong untuk rumah atas tanah, dengan hak milik individu dalam tempoh 24 bulan manakala dalam tempoh 36 bulan jika ia jenis hartanah hak milik strata. Hak milik strata termasuklah kediaman berservis, kondominium dan apartmen.
Bila pembeli rumah boleh mendapat Pemilikan Kosong?
Walau bagaimanapun, sebelum pemaju boleh menyerahkan Vacant Possession (VP), mereka perlu memastikan bahawa:
- Perakuan Siap dan Pematuhan (Certificate of Completion and Compliance atau CCC) telah dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan seperti yang sepatutnya. Dokumen ini merupakan pengesahan bahawa hartanah terbabit telah siap dan selamat untuk diduduki,
- Bekalan elektrik dan air sedia untuk penyambungan, dan
- Pembeli telah membayar baki harga belian menurut jadual pembayaran.
Selepas ketiga-tiga perkara tersebut disahkan, satu notis akan dikeluarkan kepada pembeli untuk mengambil pemilikan hartanah sama ada di pejabat pemaju atau pejabat peguam mereka. Biasanya, pembeli dikehendaki menandatangani satu set borang yang disediakan oleh pemaju. Ini adalah sebagai tanda bahawa pembeli telah menerima kunci, CCC, senarai lekapan & lengkapan, dan sebagainya. Tarikh pada borang yang ditandatangani tersebut kemudiannya menjadi tarikh permulaan Tempoh Tanggungan Cacat (Defect Liability Period).
Nota: Sesetengah pemaju mungkin mengeluarkan notis Vacant Possession (VP) apabila bangunan/projek telah siap sepenuhnya atau kira-kira 70% siap kerana pada waktu tersebut unit kediaman/bangunan sudah boleh didiami. Ini mungkin bermakna bahawa fasiliti bersama seperti rumah kelab atau taman awam belum siap sepenuhnya. Membuat VP pada tahap 70% atau 100% siap bukanlah satu undang-undang yang ditegaskan dan diketatkan. Apa yang penting adalah memastikan CCC telah diperolehi dan bekalan elektrik dan air telah sedia untuk digunakan.
Ambil perhatian bahawa pembeli diberi masa 14 hari dari tarikh notis untuk mengambil pemilikan hartanah yang telah siap. Selepas tempoh itu, pembeli dianggap telah mengambil pemilikan daripada pemaju secara automatik.
Pemilikan Kosong atau Pemilikan Sah
Anthony Lee Tee, seorang inspektor bangunan bertauliah dan pengarah Architect Centre Sdn Bhd, menerangkan perbezaan antara Pemilikan Kosong dan Pemilikan Sah.
Pemilikan Kosong merujuk kepada sebuah hartanah yang siap dibina dan dalam keadaan sesuai untuk didiami. Pembeli boleh mendapatkan kunci rumah dari pemaju atau pemilik asal yang menjual hartanah tersebut.
Pemilikan Sah pula bermaksud pembeli adalah pemilik hartanah di sisi undang-undang meskipun pembeli belum lagi memiliki kunci hartanah.
Kamaruzaman Omar
Founder Protasa Properties Sdn Bhd
Kredit: Iproperty
- KENAPA APARTMENT MELODI PERDANA PUNCAK ALAM SANGAT BERBALOI UNTUK DIBELI?
- PEMBUKAAN TOL ECO GRANDEUR DAN PEMBINAAN STESEN ECRL “BOOMKAN” PUNCAK ALAM
- Pembukaan Persimpangan Bertingkat & Plaza Tol Eco Grandeur: Lonjakan Baharu Pasaran Hartanah Puncak Alam
- LARANGAN-LARANGAN YANG REN KENA PATUHI DALAM KERJANYA SEBAGAI REN
- STESEN ECRL PUNCAK ALAM: KENAPA MASIH RAMAI YANG BELUM TAHU KEWUJUDANNYA?



