Dalam bidang hartanah, ada satu persoalan yang sering timbul dalam kalangan Real Estate Negotiator (REN).
Perlukah REN membuat saringan terhadap pembeli sebelum membawa mereka melihat rumah?
Pada pandangan saya, YA, SANGAT WAJAR. Malah, ia merupakan sebahagian daripada sikap profesional seorang REN.
Kenapa?
Membawa pembeli melihat rumah bukan sekadar membuka pintu, menunjukkan ruang tamu, bilik tidur dan dapur. Ia melibatkan masa, tenaga, kos perjalanan serta komitmen daripada pihak penjual.
Bayangkan REN membawa pembeli melihat lima buah rumah, tetapi akhirnya baru diketahui bahawa pembeli belum mempunyai kemampuan kewangan atau belum bersedia untuk membeli.
Sudah tentu masa dan tenaga banyak terbuang.
APA YANG REN PERLU TAPIS?
- Kemampuan Kewangan
Ketahui anggaran bajet pembeli dan kemampuan menyediakan deposit serta kos berkaitan pembelian rumah.
- Kelayakan Pembiayaan
Buat semakan awal sama ada pembeli mempunyai potensi untuk mendapatkan pembiayaan bank. Jika perlu, bantu mereka mendapatkan nasihat daripada pegawai bank atau penasihat pembiayaan.
- Tujuan Pembelian
Adakah untuk duduk sendiri, keluarga atau pelaburan? Tujuan pembelian akan menentukan jenis hartanah yang sesuai.
- Keperluan Dan Kehendak
Kenal pasti bajet, lokasi, jenis rumah, bilangan bilik dan kemudahan yang diperlukan. Jangan bawa pembeli melihat rumah yang langsung tidak memenuhi keperluan mereka.
- Kesediaan Untuk Membeli
Ketahui sejauh mana kesungguhan pembeli. Adakah mereka sedang membuat perancangan serius atau sekadar mencari maklumat untuk masa hadapan?
TAPI JANGAN SALAH FAHAM…
Membuat saringan bukan bermaksud kita memilih pelanggan berdasarkan penampilan, pekerjaan atau status kewangan semata-mata.
Ada pembeli yang belum bersedia hari ini, tetapi mungkin menjadi pelanggan kita beberapa bulan lagi.
Di sinilah peranan REN bukan sekadar menjual, tetapi turut mendidik, membimbing dan membantu bakal pembeli memahami proses pembelian rumah.
Jangan terlalu cepat menolak prospek. Sebaliknya, kenali keperluan mereka dan bantu mengikut kemampuan masing-masing.
Kesimpulannya:
REN yang profesional bukan sekadar pandai membawa pembeli melihat rumah, tetapi bijak mengurus masa, memahami keperluan pelanggan dan membimbing mereka sehingga berjaya memiliki hartanah.
Jangan kejar jumlah viewing semata-mata. Kejar kualiti prospek, bina kepercayaan dan fokus kepada hasil.
Kerana akhirnya, kejayaan seorang REN bukan diukur daripada berapa banyak rumah yang ditunjukkan, tetapi berapa ramai pelanggan yang berjaya dibantu memiliki rumah.
Kamaruzaman Omar
- Cara Menjual Rumah: Panduan Untuk Pemilik Rumah
- RUMAH BUSUK: MASIH RELEVANKAH PADA TAHUN 2026?
- REN TAPIS SEBELUM BAWA PEMBELI TENGOK RUMAH. WAJARKAH?
- PILIH LOKASI DENGAN BIJAK – JANGAN HANYA LIHAT RUMAH, LIHAT JUGA PERSEKITARANNYA
- SEMAK KEMAMPUAN KEWANGAN SEBELUM MEMBELI RUMAH: JANGAN HANYA FOKUS KEPADA KELULUSAN BANK!




